Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Doa Doa Dari Asmaul Husna 99 Nama Allah ~ Bahagian 1

Doa Doa Dari Asmaul Husna 99 Nama Allah ~ Bahagian 1

Doa-doa Asmaul Husna iaitu doa-doa yang di awali dengan nama nama Allah yang baik. Allah s.w.t. telah menggalakkan agar hamba-Nya berdoa dengan menggunakan nama-nama-Nya, kerana dengan nama-nama tersebut doa itu akan lebih mudah dikabulkan. Dikatakan apabila seorang hamba berdoa dengan menggunakan nama-nama Allah, Allah s.w.t. akan merasa malu kalau Dia tidak kabulkan permintaan hamba-Nya itu. Maka janganlah kita lepaskan peluang yang baik ini. Kita boleh gunakan kesemua 99 nama Allah atau kita boleh memilih mana-mana nama Allah yang sesuai dengan doa yang akan diminta.

Alhamdulillahi rabbil a’lamin, Allahuma solli a’la Muhammad wa a’laa aalihi wa ashaabihi ajamaiin.

Ya Allah, dengan menadahkan tangan-tangan kami ini kepada-Mu, kami mengharapkan Rahmat –Mu, sesungguhnya Rahmat-Mu adalah luas dan meluasi segala sesuatu.

Ya Allah, kami beriman kepada-Mu, kewujudan-Mu dan Kebesaran-Mu, Engkaulah Maha Agung dan Maha segala-galanya.

1) al-Rahman, al-Rahim


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Rahman, al-Rahim, Engkaulah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kasihanilah kami ya Allah, kami sangat-sangat mengharapkan belas kasihan daripada-Mu ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang dapat memberikan kasih sayang yang sebenarnya melainkan hanya Engkau. Segala kasih sayang yang pernah kami harapkan daripada selain-Mu, ternyata selalu menghampakan kami ya Allah.

2) al-Malik


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Malik, Raja kepada segala raja, kepimpinan-Mu adalah yang terbaik dan akan membawa kepada kebaikan, tidak ada yang lebih baik kepimpinannya melainkan hanya Engkau. Kami reda menjadikan Engkau sebagai Pemimpin kami, yang lebih berhak dipatuhi daripada segala pemimpin yang lain.

3) al-Quddus


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Quddus, yang Maha Suci, Engkaulah Tuhan yang bersih daripada segala kelemahan, menyembuh dan mentaati hanya kepada-Mu tidak akan merugikan kami. Sesungguhnya segala pengharapan yang dicurahkan kepada selain Engkau selalu mengecewakan, Kami reda mempertuhankan Engkau Zat yang Maha suci.

4) al-Salam


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Salam, yang Maha Selamat, berikanlah keselamatan kepada kami dan ahli keluarga kami. Peliharalah kami semua daripada segala macam kejahatan dan keburukan. Selamatkanlah kami dengan kebesaran nama-Mu ini daripada segala bencana dunia dan akhirat.

5) al-Mukmin


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Mukmin, yang Maha Aman, amankanlah kami daripada segala yang kami takuti. Amankanlah ahli keluarga kami daripada segala sengketa, amankanlah kejiranan kami, amankanlah kawasan kami dan amankanlah Negara kami daripada segala kejahatan dan keburukan. Kami sedar bahawa, tidak ada nikmat yang lebih baik daripada hidup dalam keadaan aman sentosa, rukun dan damai.

6) al-Muhaimin 


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Muhaimin, yang Maha Memelihara, peliharalah kami daripada segala yang tidak kami kehendaki. Peliharalah kami daripada segala yang keji, peliharalah kami daripada segala penyakit dan iri, peliharalah kami daripada hasad dan dengki. Sesungguhnya sesiapa yang dipelihara oleh-Mu akan selamatlah daripada segala yang tidak baik.

7) al-Aziz


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Aziz, yang Maha Mulia, Engkaulah yang termulia, agama-Mu adalah mulia, Nabi-Mu adalah mulia, kitab-Mu adalah mulia, maka masukkanlah kami di kalangan yang mulia.

8) al-Jabbar


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Jabbar, yang Maha Perkasa bantulah kami yang lemah ini, mengatasi segala muslihat mereka yang memusuhi kami. Berikanlah kekuatan-mu kepada kami.

9) al-Mutakabbir


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Mutakabbir, yang Maha Megah, Engkaulah berhak untuk memiliki sifat ini, kerana tidak ada yang lebih hebat daripada Engkau, maka jauhkanlah kami daripada sifat bermegah-megah hingga menyebabkan kami berhak menerima murka-Mu.

10) al-Khaliq


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Khaliq, yang Maha Pencipta, ciptakanlah untuk kami yang terbaik, ciptakanlah zuriat yang baik untuk kami, kami mahukan seorang anak lelaki/perempuan atau cukuplah sudah anak-anak yang telah Engkau berikan kepada kami. (mintalah mengikut apa yang kita perlukan). Ciptakanlah kesempurnaan pada diri kami.

11) al-Barik


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Barik, yang maha Pembuat, buatkanlah untuk kami apa sahaja yang baik untuk kami dunia dan akhirat dan jauhkan daripada kami segala apa yang akan membinasakan kami.

12) al-Musowwir


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Musowwir, yang Maha Pembentuk, bentuklah untuk kami apa yang kami kehendaki, bentuklah untuk kami zuriat lelaki/perempuan, kembalikanlah kesempurnaan kami, hanya Engkau sahaja yang berkuasa untuk membentuk dan mengubah segala bentuk.

13) al-Ghaffar


Ya Allah, dengan nama-Mu al-Ghaffar, kami meminta keampunan-Mu, ampunilah kami ya Allah, seandainya Engkau tidak mengampunkan kami, pastilah kami akan sengsara dunia dan akhirat.

14) al-Qohhar


Ya Allah, dengan nama-mu al-Qohhar, yang Maha Pemaksa, kasihanilah kami, dan jangan Engkau paksa kami melakukan sesuatu yang kami tidak mampu melakukannya, janganlah Engkau paksakan kepada kami ujian yang terlalu berat untuk kami, sebaliknya Engkau paksalah mereka, fulan bin fulan (sebut nama-nama) atau sesiapa sahaja untuk menerima kami dan apa-apa daripada kami. Engkaulah maha segala-galanya, dan paksakanlah musuh-musuh kami untuk melakukan sesuatu yang baik untuk kami.

15) al-Wahhab


Ya Allah, ya Wahhab, wahai Tuhan yang Maha Pemberi, berikanlah kepada kami apa sahaja yang kami perlukan, (sebutkan apa yang diperlukan), sesungguhnya apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat menghalang, dan apa sahaja yang tidak Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberinya. 

Insya'Allah, saya akan bawakan sambungan doa-doa dari Asmaul Husna 99 nama Allah ini pada bahagian berikutnya. Wallahua'lam... 

Read More ....


Post a Comment

2 Comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

close