Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Kemalangan Maut Menjelang Tahun Baru 2012

Bumbung tercabut, 7 maut 



Kemalangan maut yang menyebabkan 7 orang maut di daerah Manjung ketika kebanyakan orang sibuk membuat persiapan menyambut kedatangan tahun baru amat menyedihkan. Kemalangan ngeri ini memang sungguh dahsyat. Dua buah kereta di seret beberapa meter akibat insiden tersebut. Saya ikut menonton siaran berita di TV dan dapat menyaksikan beberapa biji kenderaan yang remuk teruk. Bayangkan kalau keadaan kereta dah teruk macam itu, bagaimana rupa orang di dalamnya.

Berikut saya petik siaran dari akhbar Sinar Harian untuk tatapan bersama.

MANJUNG – Tujuh maut dalam kejadian membabitkan sebuah treler bermuatan tong gas memasak LPG dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta di Batu 6, Jalan Lekir, Sitiawan, lewat malam kelmarin.

Treler berkenaan dipercayai dari arah Port Dickson menuju ke Pulau Pinang manakala MPV tersebut dalam perjalanan ke Sitiawan. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Ismail Munajat berkata dalam kejadian jam 10.30 malam itu, enam mangsa maut serta merta di tempat kejadian manakala pemandu MPV jenis Honda Stream, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) akibat cedera parah.

Menurutnya, mereka yang maut serta merta di tempat kejadian dikenali sebagai Mohamad Kamil Samsuri, 16; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 16; Mohamad Shadan Mohd Arshad, 16; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 17; serta pasangan adik beradik Mohamad Hadi Sulaiman, 18, dan Badrul Isa Sulaiman, 20.

“Dua mangsa lagi masih dirawat di HSM iaitu penumpang MPV, Khairul Faiz Mohd Noor, 18, (cedera ringan) dan pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 50,yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat cedera parah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, semalam.

Ismail berkata, kejadian berpunca apabila MPV yang dipercayai membawa 10 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, berkemungkinan besar MPV itu dipandu laju sehingga mengakibatkan bumbung tercabut dan remuk teruk.

“Siasatan awal mendapati, MPV itu cuba memotong kereta jenis Honda Civic di sebelah kiri jalan dan masuk semula ke laluan di hadapan kereta tersebut secara mengejut.

“Tindakan tersebut menyebabkan pemandu MPV gagal mengawal kenderaan dan hilang kawalan lalu bertembung secara berhadapan dengan treler tersebut.

“Ia menyebabkan MPV tersebut berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga penumpang di dalamnya tercampak keluar.

“Malah, salah seorang penumpang turut terpelanting di atas cermin hadapan kereta Honda Civic terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu treler berkenaan turut merempuh gerai buah-buahan yang berada di bahagian kanan jalan dan terbabas memasuki ladang kelapa sawit kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Lebih mengerikan apabila ada dalam kalangan mangsa yang ditemui dalam keadaan perut terburai, mata terkeluar malahan seorang daripada mereka putus kepala,” katanya.

Menurutnya, dua wanita yang dipercayai menaiki MPV dan pemilik Honda Civic setakat ini masih belum tampil untuk membuat laporan polis.

Beliau berkata, semua jenazah dibawa ke HSM untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Walau apapun kepada yang terselamat saya doakan semoga mereka tabah menerima berita ini. Dan buat ahli keluarga mangsa yang terlibat, saya faham berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Smile!
(bersabar hadapi dugaan hidup!)
aynora nur



Terima kasih kerana membaca Dunia Kita di sini. Sila Klik 'LIKE' Jika Suka Dan Sila Beri Pandangan ye, Lots of Love...AA

Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close