As-salam,
Banyak kisah yang boleh kita kongsikan kepada pembaca blog tentang Awal Muharram atau Maal Hijrah. Dalam banyak-banyak kisah yang ada, saya terfikir untuk kongsikan beberapa cerita para sahabat dan Nabi kita berkaitan dengan Hijrah.
1) Penghijrahan sebahagian para sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (selepas Nabi diutus menjadi Rasul) adalah merupakan perintis jalan kepada hijrah yang lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W.. Peristiwa hijrah ke Madinah merupakan peristiwa penting di dalam sejarah Islam, kerana ekoran darinya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah.
Gambaran awal bahawa Rasulullah S.A.W. akan berhijrah telah diutarakan oleh Waraqah bin Naufal sewaktu Baginda S.A.W.. mula-mula menerima wahyu yang pertama dari Allah S.W.T. Kata Waraqah:
"Demi Tuhan yang diriku berada didalam genggamanNya, sesungguhnya kamu adalah nabi bagi umat ini. Kamu telah didatangi malaikat Jibril yang pernah datang menemui Nabi Musa a.s. Demi sesungguhnya kamu akan dibohongi, disakiti, dihalau dan akan diperangi. Jika aku berkesempatan dengan hari itu, nescaya aku akan menolongmu untuk menegakkan agama Allah dengan pertolongan yang diketahuiNya."
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya,
"Tidak ada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah kecuali jihad dan niat"
Di dalam kitab Mestika Hadis telah menghuraikan bahawa perjuangan agama dan niat yang baik tidak terhad masanya bahkan sentiasa tertuntut untuk diamalkan oleh setiap umat Islam selagi hayat dikandung badan. Tuntutan hijrah berlaku sepanjang zaman seperti berhijrah dari satu tempat yang tidak ada tempat untuk belajar ilmu ke tempat yang boleh menuntut ilmu, juga dari satu tempat yang banyak melakukan maksiat ke tempat yang tidak ada maksiat.
2) Peristiwa hijrah merupakan ujian keimanan kepada para sahabat. Mereka yang yakin kepada Allah dan RasulNya serta kasih kepada Rasulullah lebih dari kasih kepada keluarga, harta benda dan sebagainya telah bertekad untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. seperti Suhaib ar-Rumi contohnya telah berhijrah meninggalkan kekayaannya di Mekah demi untuk bersama baginda.
Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:
"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya"
(al-Baqarah: 207)
3) Ali bin Abi Talib yang masih muda juga sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W. sebagai suatu muslihat untuk mengelirukan musyrikin Quraisy apabila mereka merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W. kerana sekiranya Rasulullah S.A.W. berjaya mengumpul para penyokong di luar Kota Mekah hal tersebut akan memberikan tamparan hebat kepada kekuasaan mereka.
4) Amir bin Fuhairah, hamba Abu Bakar as-Siddiq pula telah memainkan peranan menghapuskan kesan perjalanan ke Gua Thur dengan membawa kambing-kambingnya yang banyak.
5) Abdullah bin Abu Bakar pula telah bertindak sebagai pengintip yang memerhatikan gerak laku Musyrikin Quraisy serta melaporkan kepada Rasulullah S.A.W..
6) Asma' binti Abu Bakar yang mewakili kaum muslimat telah berperanan menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah S.A.W. dan ayahnya iaitu Abu Bakar As-Siddiq yang sedang bersembunyi di Gua Thur.
Jika dilihat dari beberapa contoh peristiwa di atas, terang dan jelas bahawa hijrah ini berkaitan dengan jihad dan niat untuk meneguhkan iman kita trhadap Allah. Saya berharap paparan dan perkongsian kisah tentang hijrah ini dapat memberikan kita semangat memulakan hijrah daripada baik kepada yang terbaik! Insya'Allah...
p/s: Bila membaca kisah penuh semangat para sahabat dengan Nabi kita, hati pun berkobar-kobar untuk membuat perubahan. Semoga dipermudahkan ..
1 Comments
Info yg baik..
ReplyDeleteAlexa aku sekarang 266,000dari 588,000.
Memang menurun...
Memang plan nak buat entri pasal ni...minggu depan...hihihihi
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.