Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Cara Bersedekah Yang Betul

Cara Bersedekah Yang Betul - Cukupkah dengan senyuman jika kita mahu bersedekah? Memang betul dengan tersenyum sahaja kita telah mendapat pahala sedekah. Tetapi sebagai seorang muslim yang sihat tubuh badan dan berkemampuan, kita digalakkan memberikan mengikut kemampuan kita secara logik. Contohnya, jika ada orang meminta bantuan kewangan atau derma sekolah (yang boleh dipercayai) kita harus membantunya mengikut keupayaan kewangan yang ada. Takkan nak sedekah senyuman aje untuk bina bangunan? Betul tak?




Orang yang bersedekah hendaknya turut mengambil berat akan persoalan etika dan cara bersedekah supaya diberikan pahala oleh Allah. Niat sahaja baik, namun jika caranya tidak kena, jawabnya rendahlah markah sedekah kita. Mungkin juga kita tidak mendapat apa-apa pahala daripada amal sedekah kita, malah lebih teruk lagi menambah dosa pula pada diri. Subahanallah...


Jenis-jenis Sedekah


1. Tasbih, Tahlil dan Tahmid
2. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar - mengajak membuat kebaikan
3. Hubungan Intim Suami Isteri
4. Bekerja dan memberi nafkah pada keluarganya
5. Membantu urusan orang lain
6. Mendamaikan dua orang yang berselisih
7. Menjenguk orang sakit
8. Berwajah manis atau memberikan senyuman
9. Berlumba-lumba dalam amalan sehari-hari
10. Sedekah yang cukup besar pahalanya adalah sedekah jasa dan harta benda seperti membantu memenuhi hajat manusia, bergotong royong dan saling menolong.


Cara Bersedekah Yang Betul


1. Kerana Islam mengajar kita supaya menyerahkan sedekah dengan wajah yang ceria dan berseri. Dengan berkeadaan sedemikian, walaupun jumlah sedekah kita tidak banyak, namun pasti mendatangkan kegembiraan kepada mereka yang menerimanya. 

Fahami maksud sabda Rasulullah berikut:

"Jangan kamu anggap mudah perbuatan baik, meskipun sekadar memberi senyuman ketika bertemu dengan saudaramu.” (Riwayat Muslim)

2. Islam mendidik kita supaya bersedekah dengan harta yang paling baik. Contohnya, memang baik apabila kita mendermakan pakaian lama anak-anak kita yang sudah tidak digunakan lagi kepada pihak yang memerlukan. Namun adalah lebih baik lagi jika kita membeli pakaian yang baru lalu didermakan terus kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan.

3. Menyembunyikan sedekah itu adalah lebih utama, namun menampakkan sedekah kita jika itu lebih baik adalah satu tindakan yang betul dan dituntut oleh Islam. Pendek kata, sedekah dibolehkan secara tersembunyi atau terang-terangan. Secara tersembunyi lebih baik, kecuali jika penderma ingin tindakannya menjadi motivasi kepada orang lain agar turut bersedekah, maka atas tujuan ini adalah baik untuk “menunjukkan” dermanya.

Al-Quran ada menjelaskan mengenai perkara ini:

"Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh). Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Baqarah 2: 271)

4. Sedekah harus berasal daripada harta yang diperoleh melalui jalan yang halal.
"Barangsiapa mencari harta dengan cara yang haram, kemudian dia gunakan harta itu untuk silaturahim atau sedekah atau sedekah di jalan Allah, semua itu akan dikumpulkan untuk memukulnya di neraka Jahannam." (Riwayat Abu Daud)

5. Sedekah harus dilakukan dengan ikhlas, mengharap keredhaan Allah dan tidak dicemari sifat riak atau ujub. Niat sedekah adalah semata-mata kerana Allah. "Setiap perbuatan itu ditentukan oleh niat. Setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang diniatkannya..." (Muttafaq Alaih)

6. Sedekah harus diberikan kepada pihak yang sangat memerlukan. Jika ada ahli keluarga kita yang dalam kesempitan, maka menyerahkan sedekah kepada mereka adalah lebih baik berbanding selainnya.

"Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, iaitu pahala sedekah. Tetapi jika sedekah itu diserahkan kepada ahli keluarga, maka ia menjadi dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala silaturahim." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

7. Orang yang ingin bersedekah wajib segera menunaikan sedekahnya selagi dia masih hidup.

"Hendaklah kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan merasa berat menunaikannya; ketika kamu masih mengharapkan kekayaan dan takut akan kemiskinan..." (Muttafaq Alaih)

8. Menjauhkan diri daripada sikap membangkit-bangkitkan sedekah yang diberikan dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu rosakkan sedekah-sedekah kamu dengan sikap membangkit-bangkitkan tentang sedekah itu dan kata-kata yang menyakiti (hati penerimanya)."

(Al-Baqarah 2: 264)

Secara keseluruhan, apa yang dapat saya simpulkan adalah niat bersedekah yang ada dalam diri seseorang amatlah baik sifatnya tetapi harus disertai dengan cara yang betul agar matlamat yang ingin dicapai dapat diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Niat yang baik haruslah diakhiri dengan matlamat yang betul...

Wallahua'lam... 

Sumber rujukan:

Sebarkan Bahagia:

Read More ....


Post a Comment

5 Comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

close