Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Cara Berhadapan Dengan Bekas Kekasih

Cara berhadapan dengan bekas kekasih - Setiap orang pasti memiliki kisah silam yang indah ataupun yang sedih. Walaupun sedih sekali kenangan silam kita itu, ia adalah satu pengajaran yang berguna. Betul tak? Pengalaman silam mendewasakan dan mematangkan kita. Kerananya, kita jadi seseorang yang boleh bangun kembali dan lebih bersemangat untuk hidup.




Ada beberapa cara yang akan saya kongsikan sebagai panduan untuk berhadapan dengan bekas kekasih/ bekas pasangan kita.

1. Berani berhadapan dengannya
2. Berfikiran positif
3. Bertegur sapa secara sederhana
4. Mendoakan kebaikan buatnya
5. Berubah ke arah lebih baik
6. Bersangka baik
7. Memperkenalkan pilihan kita hari ini


Cara Berhadapan Dengan Bekas Kekasih 


1. Berani berhadapan dengan bekas pasangan

Perkara pertama yang sering menghantui seseorang dengan bekas kekasih/ pasangan adalah takut berhadapan dengan diri masing-masing. Mengapa boleh jadi begitu? Kerana kita pernah memiliki dan membina kenangan bersama. Betul tak? Oleh itu buang semua kenangan dan ambil yang positif sahaja. Tampil berani dengan berhadapan secara matang. Buang sikap egois dan emosional yang boleh mencacatkan penampilan anda di hadapan bekas kekasih.

Ramai orang mengambil jalan mudah dengan melarikan diri dan mengelak dari dihantui rasa bersalah tetapi kemudiannya menderita akibat tekanan perasaan dan gangguan syaitan yang mempergunakan kisah-kisah lama untuk menghalang kita daripada maju ke depan dan menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik.

Untuk jadi berani kita kena kuat menahan perasaan, simpan sebaik mungkin baki perasaan yang masih bersisa dan senyum bagi penguat semangat. Perasaan di dalam hati biar jadi rahsia antara kita dengan Allah. Akhir sekali hulurkan kemaafan ketika bertemu dengan bekas pasangan agar hubungan silaturrahim masih boleh diteruskan.

Oleh yang demikian apabila ternampak bekas kekasih atau melihatnya di suatu tempat, buat seperti biasa dan teruskan urusan anda tanpa perlu takut atau bimbang dan jauh sekali melarikan diri ataupun mengelak.

2. Berfikiran positif

Selain daripada berani, kita juga harus berfikiran positif dengan bekas pasangan. Fikirkan apakah kebaikan yang pernah dihulurkan kepada kita pada satu ketika dahulu terutamanya jika kita pernah menjadi suami atau isteri. Mungkin dahulu beliau yang menanggung perbelanjaan keluarga dan menghantar kita pergi dan balik kerja. Bila kita kenangkan kebaikan tersebut, tentu kita berasa terhutang budi. Perpisahan yang terjadi mungkin kerana anda dan bekas pasangan/bekas kekasih tiada jodoh. Dengan berfikiran positif seperti itu kita pasti tidak menghadapi masalah berdepan dengan bekas kekasih.

3. Bertegur sapa secara sederhana

Jika ditakdirkan anda bersemuka lagi dengannya, layanlah bekas kekasih anda secara sederhana. Usah tunjukkan yang anda masih menyimpan perasaan. Mungkin anda masih bekerja di bawah satu bumbung, mungkin bekas pasangan itu pensyarah anda. Jadi, hentikan memasang harapan dan begitu juga, jangan biarkan bekas kekasih anda itu menaruh harapan semula. Selalu tampil bersama dengan kawan-kawan agar tiada peluang untuk bekas kekasih menganggu hidup anda lagi.




Yang lepas biarlah berlalu melainkan anda dan bekas pasangan/kekasih ada niat untuk kembali bersama semula.

4. Mendoakan kebaikan buatnya

Sudah berpisah tidak semestinya kita tidak boleh mendoakan bekas kekasih kita. Berdoalah untuk mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Jika sewaktu menjadi pasangan mungkin kelakuannya dan perangainya agak teruk, doakan yang baik-baik sahaja buat mereka.

Doa ialah suatu ibadah yang mulia dan mudah dilakukan. Tidak ada yang mustahil bagi kita dengan berdoa. Ianya juga adalah sedekah yang paling mudah dibuat oleh seseorang. Jangan kedekut untuk berdoa dan mendoakan bekas kekasih agar dia mendapat kebaikan dan diberikan oleh Allah SWT dengan petunjuk atau hidayah seperti yang kita perolehi.
Firman Allah SWT : “Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali-Imran : 134)

Mendoakan bekas kekasih bermaksud kita sebenarnya telah berjaya memaafkan kesalahan diri kita sendiri dan mampu menghadapi peristiwa lalu dengan ketabahan dan kekuatan jiwa yang kuat. Dengan berdoa secara tidak langsung kita pun telah memaafkan dirinya.

5. Berubah ke arah lebih baik

Selain daripada itu, kita juga harus memainkan peranan memperbaiki diri kita sendiri. Salah satu sebab perpisahan mungkin sikap kita yang kurang disenangi oleh bekas kekasih atau pasangan. Mulai sekarang kita haruslah berubah menjadi lebih baik daripada dahulu. Tunjukkan sikap-sikap positif kita agar orang di sekeliling menyedari perubahan kita itu. Dengan secara tak sengaja kisah perubahan kita pasti sampai ke pengetahuan bekas kekasih.




Dengan yang demikian, setidak-tidaknya bekas kekasih terus menghormati kita kerana perubahan yang kita lakukan itu. Putus kasih tidak membuatkan kita patah semangat untuk hidup. Teruskan kehidupan dengan tekad baharu dan semangat yang kuat. Jika terserempak semula dengan bekas kekasih, tentu kita tidak berasa kekok atau bimbang memandangkan kita pun telah berhijrah ke arah kebaikan.

6. Bersangka baik

Bersangka baiklah dengan bekas pasangan kita. Dengan cara ini kita boleh menghadapi bekas pasangan tanpa rasa takut atau malu.  Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana bekas kekasih juga sama seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang pemarah tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang sangat lembut hati dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memaafkan.

Allah s.w.t pun ada berfirman yang maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…”
(Surah al-Hujurat, ayat 12)


7. Memperkenalkan pasangan baru kita kepada bekas kekasih

Akhir sekali, perkenalkan pasangan baru kita hari ini. Tunjukkan kepadanya jenis apakah dan bagaimana pilihan yang telah kita buat sekarang. Jika kita mahukan yang terbaik, sudah pasti kita akan menunjukkan pasangan baru kita adalah seorang yang lebih baik daripada bekas kekasih. Harus mencari pasangan yang memiliki beberapa ciri yang positif antaranya pengetahuan agamanya, pendidikannya, sahsiah diri serta hubungan pasangan dengan keluarga dan adik beradiknya.

Jika bekas kekasih mengetahui bahawa kita telahpun mencari pengganti, pasti dia akan mengundur diri dan tidak berterusan menganggu kita lagi. Namun perlu diingatkan, biarpun anda dan bekas pasangan telah tidak sehaluan lagi, janganlah diputuskan tali silaturrahim yang pernah terjalin.

Saling mendoakan yang terbaik buat bekas pasangan masing-masing adalah satu cara terpuji bagi menghindarkan permusuhan dalam persaudaraan sesama Islam.

Semoga perkongsian di atas dapat memberikan sedikit sebanyak panduan kepada kita semua yang menghadapi masalah berdepan dengan bekas kekasih/pasangan.


Read More ....


Post a Comment

2 Comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

close