Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Gementarnya rasa ketika dihening subuh menyebut namaMu. Hingga aku merasakan Engkau menghembus aura kasih, mendengar lembut rayuan rinduku. Wahai Tuhan, Allah yang memiliki sekalian alam, padamkan segala dosa-dosa hamba. Lahirkan hamba insan yang baru, berikan cahaya hidayah kepada hamba pendosa ini.
Satu persatu, Engkau hadirkan bahagia tak terhingga. Tak terkira hikmah yang Engkau hamparkan. Mana lagi janji-janjiMu yang ingin aku dustakan? Wahai Tuhan Yang Lembut Maha Penyayang. Berikan aku apa yang aku perlukan, simpankan duka jika itu tak mampu aku tempuhi. Terimalah penyerahan hambaMu ya Tuhan
Mana yang lebih indah dari menatap bintang berkerlipan di Timur jauh. Saat aku mendengar kata-kataMu, ketika lidah melafaz kalamMu...terasa kerdilnya dengan segala kekuatan yang Engkau tunjukkan ya Tuhan. Tidakkah ada rasa kagum dalam diriku hingga aku masih tegar menafikan hakMu?
Lailatul Qadar Malam 1000 Bulan
Malam 1000 bulan? Aku mencari-cari dari langitmu. Dari pepohonan yang terbuai. Dari deruan syahdu angin dinihari. Aku mencari tak henti ya Tuhan. Sedangkan aku lalai, tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Ada pada hatiku yang Engkau ciptakan INI...
Bertemu lailatul qadar? Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan olehmu, ya Allah?
Aku kah yang Engkau pilih? Untuk jiwa yang lebih tenang, akhlak menjadi lebih baik dan ibadahku (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat dan hebat.
Ku pandang ke langitMu lagi. Malam Al Qadar, malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia, kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah hingga terbit fajar. Itupun belum mampu membuka pintu taubatku ya Allah...maafkanlah pendosa ini. Ampunkan aku...
Ya Allah, jika ada kasihMu. Biarkan MalaikatMu bertamu dalam hatiku. Semoga hatiku bersih setenang tasik manisnya iman. Walau sejenak hingga aku tak sempat terasa, namun kesan itu berpanjangan hingga ke hujung nyawa. Relakan bisikan-bisikan para malaikat mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam hidup seorang pendosa ini. Biarkanlah...aku rela penuh mengharap ya Allah.
Mulai detik ini, mohon agar bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati kami yang berdosa ini. Ya, hidup ini sebenarnya melalui antara dua bisikan. Iaitu bisikan “hati kecil” yang suci dan baik dan bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat.
Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Aku tahu itu. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”. Subhanallah...pilihlah hatiku untuk Kau tawan, penuhi ruang dada dengan ilham yang baik-baik.
Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)
Sesungguhnya bertuahlah orang yang mendapat malam Al Qadar. Terimalah munajatku Ya Allah. Mohon akulah yang kau kasihkan. Hasil mujahadah, doa, taubat pada malam 1000 bulan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hati kami. Perkenankanlah duhai Tuhan. Dan, suara hati kecil ku akan sentiasa mengatasi hati besar. Mujahadah akan dipermudah, dibantu. Perjalanan menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Subhanallah...
Hati Yang Terus Memburu
Berikan aku kehidupan yang manis. Mulia di sisiMu. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan ku. Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Rasakah wahai diri?
Ah...hati yang sedang memburu redhaNya. Sedikit demi sedikit orang lain mula ketara, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah.
Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang sempurna. Hati yang terpilih kan dipimpin ke jalan damai.
Lailatul Qadar...kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Hati kan terus memburu! Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah ‘malam Al Qadar’.
Al Qadar boleh datang, boleh pergi, tetapi Penciptanya sentiasa ada sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini, tahun ini atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti.
Bersediakah kamu duhai hati yang lemah? Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat.
Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, Aku hanya insan lemah, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku. Berikanlah kehidupanku akhiran yang baik, khusnul khotimah.
Sebarkan bahagia.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.