Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Cara-Cara Bersikap Redha Dengan Takdir Allah

Cara-Cara Bersikap Redha Dengan Takdir Allah - Bercakap soal redha adalah sesuatu yang subjektif, sukar melakukannya dan bukan sebarangan orang mampu redha dengan dugaan yang Allah SWT turunkan.

Redha menurut kamus al-Munawwir ertinya senang, suka dan rela. Redha/rela adalah rentak hati kita dalam menerima semua pemberian-NYA yang setiap saat selalu kita rasakan. Pengertian redha juga ialah menerima dengan senang segala apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan (hukum) ataupun qada’ atau sesuatu ketentuan dari Allah SWT. Jadi redha adalah perilaku terpuji menerima dengan senang apa yang telah diberikan Allah kepadanya, berupa ketentuan yang diberikan kepada manusia.

Apakah kesan redha kepada manusia? Kebaikannya adalah akan menimbulkan rasa optimis yang kuat dalam menjalani dan nelalui kehidupan pada masa hadapan dengan mengambil hikmah dari kehidupan masa lampau.

Orang yang berhati redha atas keputusan-keputusan Allah SWT, hatinya menjadi lapang dan jauh dari sifat iri hati, hasad dengki dan sikap tamak. Redha akan mewujudkan sikap khusnuzon (bersangka baik) terhadap ketentuan-ketentuan Allah, sehingga manusia tetap teguh iman dan amal solehnya.

Dengan redha, setiap kesulitan yang kita hadapi akan ada jalan keluarnya, di tiap satu kesulitan ada dua kemudahan, dengan redha akan menumbuhkan rasa cinta kasih terhadap sesama makhluk Allah SWT dan akan lebih dekat dengan Allah SWT.


#Sumber


Cara-Cara Bersikap Redha Dengan Takdir Allah


Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata:
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan:
"Segala puji bagi Allah atas segala perkara". 

Cara-Cara Bersikap Redha Dengan Takdir Allah 


1. Bersikap tawakkal dan sabar dalam menghadapi cubaan yang diberikan oleh Allah swt.

Bagaimanakah tawakkal itu? Bagaimana pula mahu bersabar jika takdir tidak menyebelahi? Baiklah. Saya mungkin boleh berkata yang manis-manis, cuba meraih simpati dan barangkali menabur semangat kepada para sahabat semua. Namun dengan sikap tawakkal menunjukkan kita kuat semangat dan kental percaya kepada perancangan Allah. Ya, mungkin kita kata bahawa kita telah buat semuanya yang Allah kehendaki tetapi mengapa musibah masih menimpa? Maka Allah SWT sebenarnya sedang menguji sejauh mana kita faham dengan perancanganNya. Setiap yang pahit akan manis akhirnya. Percayalah...

2. Menerima dengan ikhlas dugaan yang diberikan dan tetap berusaha untuk menjadi yang lebih baik serta mengambil hikmah dari dugaan tersebut. 

3. Percaya kepada takdir Allah swt. Sedangkan bahayanya jika tidak redha iaitu akan menimbulkan segala perbuatan yang tidak di redhai oleh Allah swt, seperti mudah terjadi perselisihan antara manusia, manusia tidak akan mampu menerima segala ketentuan-ketentuan Allah swt dan sebagainya.


Contoh Kisah Dalam Kehidupan Sehari-Hari (Dikutip dari kisah para sahabat Rasulullah saw)


Pada suatu hari Ali bin Abi Thalib r.a melihat Ady bin Hatim bermuram durja, maka Ali bertanya ; 

“Mengapa engkau tampak bersedih hati ?”. 

Ady menjawab ; “Bagaimana aku tidak bersedih hati, dua orang anakku terbunuh dan mataku tercabut dalam peperangan”. 

Ali terdiam haru, kemudian berkata, “Wahai Ady, barang siapa redha terhadap takdir Allah SWT maka takdir itu tetap berlaku atasnya dan dia mendapatkan pahala-Nya, dan barang siapa tidak redha terhadap takdir-Nya maka hal itupun tetap berlaku atasnya, dan terhapus amalnya”.


Ayat Ayat Al-Quran Berkaitan Sikap Redha 


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". (Surah An-Nisaa' : Ayat 65)

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud: 

"Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata: ' Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya, Sesungguhnya pada Allah kami menuju ". (Surah At Taubah : Ayat 59) 

Sebenarnya redha itu bukan dinanti tetapi sebaliknya redha harus dicari. Sebab itu ramai ustaz dan para ulamak menyeru kita agar mencari redha Allah.

Selayaknya kita bersikap sebagai hamba yang baik dan melakukan perbuatan yang baik dengan sebanyak-banyaknya. Kerana dalam banyak amal kebaikan yang kita lakukan, entah yang mana satukah yang diterima oleh Allah SWT.

Akhirnya, sekali lagi saya menyeru kepada diri sendiri dan sahabat semua untuk mengamalkan hidup yang penuh redha sambil sentiasa berusaha sedaya upaya mencari keredhaanNya. Hiduplah dengan semangat dan yakin bahawa di setiap kesukaran dan dugaan yang Allah berikan, akan ada sesuatu yang menanti. Yang pasti, Allah memberikan sesuatu berdasarkan keperluan hambaNya.



Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close