Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Fadhilat Istighfar Dicintai Allah

Fadhilat Istighfar Yang Perlu Kita Tahu. Jika dosa adalah penyakitnya, maka Istighfar adalah penawarnya. Maksudnya istighfar mampu menghapus dosa (sakit) kita terhadap Allah SWT. Mohonlah ampunan kepada Allah agar kita terus menerus dicintai oleh Allah dan menjadi hambaNya yang selalu dikasihi dengan rahmat-rahmatNya.

Sering juga saya tercari-cari fadhilat istighfar selain daripada penghapus dosa, lalu kesempatan membaca di tazkirah.net menemukan saya dengan jawapan yang saya perlukan. Terima kasih tazkirah.net kerana memberikan penjelasan tentang fadhilat istighfar yang ramai belum tahu.

Fadhilat Istighfar Dicintai Allah


1. Menggembirakan Allah & Dicintai Allah - Pasti matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah swt. Mudahan redha Allah swt membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga. Redha Allah swt akan diperolehi apabila kita menggembirakan Allah swt dan istighfar adalah jalannya. Rasulullah saw bersabda:

“Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang dari kalian yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir.” Riwayat Bukhari dan Muslim

Allah juga mencintai hambaNya yang bertaubat dan sentiasa memohon keampunan kepadaNya. Rasulullah saw juga bersabda: “Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.” Riwayat Ibnu Majah
2. Memberikan Kegembiraan Setelah Kesedihan - Dari Ibni Abbas ra, baginda Rasulullah saw juga bersabda:“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad

Fadhilat Istighfar Yang Perlu Kita Tahu


3. Ditambah Nikmat & Kekayaan - Fungsi utama istighfar adalah memohon keampunan Allah dan meminta diberikan kekuatan dalam mengharungi kehidupan. Bila Allah menerima taubat hambaNya, tiada apa lagi yang kita harapkan melainkan ia menjadi sumber kekuatan kita meneruskan langkah mendepani cabaran hidup. Bila kekuatan telah hadir, kita semakin tekun berusaha mengejar redha Allah di samping mencapai dan mengejar kekayaan duniawi dan ukhrawi. Kedua-duanya beriringan, kita gunakan dunia untuk mengaut keuntungan akhirat, insyaa Allah.

Bila keyakinan kita terhadap kasih Allah semakin teguh, tiada apa yang kita risaukan. Jalani kehidupan bersungguh-sungguh sambil bersyukur dengan nikmat kekayaan yang Allah anugerahkan kepada kita. Kekayaan yang luas skopnya termasuklah diberikan kesihatan yang baik, rezeki yang lancar, ilmu yang bermanfaat dan keluarga yang kasihkan kita. Alhamdulillah.

Fadhilat Istighfar Yang Perlu Kita Tahu


4. Bertambah Kuat Mengharungi Cubaan Hidup - Dekatnya seorang hamba kepada Sang Pencipta, dekat lagi Sang Penciptanya kepada hamba itu. Dia tidak akan meninggalkan hamba-hambaNya yang begitu tekun mendekatiNya dengan sentiasa mengharapkan keampunanNya. Dan Tuhannya juga berjanji untuk menambah kekuatan hambaNya agar menang dalam menghadapi segala cabaran hidup di atas dunia ini.

Mahu tidak mahu segala keperitan itu perlu dihadapi juga. Tapi dari manakah segala kekuatan dapat diperolehi kembali setelah diri dirasakan telah lunyai diasak dugaan? Firman Allah swt yang bermaksud:
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52) 
5. Dimakbulkan Doa & Hajat - Orang yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah swt pasti sentiasa dibersihkan dari dosa-dosanya. Apabila seseorang hamba itu bersih dari dosa maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah swt kerana dekatnya dia di sisi Allah swt. Adalah tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu.

Imam Ahmad Ibnu Hambal mengisahkan kelebihan istighfar yang diamalkan oleh seorang pembuat roti. Sepanjang malam si pembuat roti akan membuat roti sambil beristighfar tanpa henti dan ini telah didengari oleh Imam Ahmad yang menumpang tidur di rumahnya.

Lalu ditanyakan kepadanya apakah kelebihan yang diperolehinya melalui amalan istighfar yang bersungguh-sungguh itu. Dijawab si pembuat roti bahawa Allah swt telah mengkabulkan segala permintaannya selama ini setiap kali dia berdoa kecuali permintaannya untuk bertemu dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal.

(Si pembuat roti tidak mengenali Imam Ahmad yang dipelawanya untuk menumpang tidur di rumahnya sendiri ketika itu). Imam Ahmad sangat terkejut bagaimana Allah swt telah merencanakan perjalanannya sehingga dia berteduh di rumah si pembuat roti. Ternyata juga ini semua untuk memperkenankan hajat si pembuat roti iaitu ingin bertemu dengannya.

Melalui kisah ini dapat dikongsikan bahawa antara kelebihan amalan istighfar ialah diperkenankan segala permintaan dan dimakbulkan hajat oleh Allah swt pada hamba-hambaNya yang sentiasa memohon keampunan dariNya.

6. Diampunkan Dosa-dosanya oleh Allah SWT - Kita adalah seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering jatuh tersungkur di lembah maksiat.

Fadhilat Istighfar Yang Perlu Kita Tahu


Namun janganlah pernah berputus asa dalam mengharapkan keampunan daripada Allah swt dan teruslah beristighfar. Kerana Allah swt telah berjanji seperti di dalam sabda baginda Rasulullah saw:

Allah telah berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).” Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi

Untuk bacaan lanjut dan lain-lain fadhilat istighfar, anda boleh layari tazkirah.net. Semoga sedikit perkongsian tentang fadhilat istighfar yang perlu anda tahu tadi memberikan kita ilmu yang bertambah dan bermanfaat untuk diamalkan demi kebaikan bersama.

#fadhilat istighfar

Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close