Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Kisah Sahabat Rasulullah Yang Lebih Memilih Jihad & Mati Syahid

Salam jumaat wahai sahabat muslim tercinta. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Mari mulakan hari indah ini dengan hadiahkan al Fatihah kepada insan-insan tersayang terutamanya Rasulullah, suami isteri, ibu bapa, anak-anak dan sebagainya. Semoga Malaikat mengiringi perjalanan kita sepanjang hari ini dan mencatat setiap amalan kebaikan yang dilakukan.  

Dalam artikel kali ini saya kongsikan kisah yang boleh dijadikan renungan hidup dalam menjalani segala pancaroba pada hari-hari mendatang. Sebuah kisah sahabat Rasulullah bernama Julaibib RA yang memilih untuk mati syahid. Subhanallah...  

Kisah Sahabat Rasulullah Yang Lebih Memilih Jihad & Mati Syahid

Kisah Sahabat Rasulullah Yang Lebih Memilih Jihad & Mati Syahid


Dikisahkan seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Julaibib RA memiliki perawakan kurang bagus, dan tidak memiliki banyak harta. Meskipun demikian, Julaibib sangat dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam kerana ketakwaan yang ada pada dirinya. Pada suatu hari Rasulullah berkeinginan untuk menikahkan Julaibib dengan puteri salah seorang sahabat Anshar. Oleh kerananya Rasulullah saw mendatangi rumah sahabat Anshar itu dan meminta putrinya untuk berkahwin dengan Julaibib.

Tanpa berfikir panjang sahabat Anshar segera menerima tawaran Rasulullah. Sahabat Anshar berfikir bahawa hal ini merupakan kesempatan yang sangat berharga, dan suatu kebanggaan tersendiri baginya dan keluarganya ketika terjalin hubungan dengan Rasulullah saw. Akan tetapi, Rasulullah menjelaskan, bahawa pinangan ini bukan untuk dirinya, melainkan untuk Julaibib ra. Tersentak, sahabat Anshar terkejut mendengarnya. Dengan rasa kebingungan sahabat Anshar menjawab untuk berbincang dahulu dengan isterinya.

Pergilah sahabat ini menemui isterinya. Terlintas di benaknya, apa kata orang jika puteriku bernikah dengan Julaibib ra?! Bagaimana martabat keluarganya?!

Setelah bertemu dengan isterinya, iapun menceritakan pinangan Rasulullah. Tetapi pinangan itu bukan untuk Rasulullah melainkan untuk Julaibib ra. Mendengar perkataan suaminya, sang isteri segera menolak pinangan itu. Mereka enggan memiliki seorang menantu seperti Julaibib ra yang tidak memiliki apa-apa.

Percakapan itu ternyata terdengar oleh puteri sang sahabat Anshar. Ketika ayahnya hendak beranjak pergi untuk menolak pinangan Rasulullah saw, sang puteri malah mencegah ayahnya untuk melakukan hal itu. Dengan tegas puterinya menjawab, "Apakah kamu semua menolak perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam? Tidakah kalian mendengar firman Allah Al-Ahzab ayat 36,” Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” Terimalah pinangan itu, kerana ia tidak akan mensia-siakanku. Ketahuilah, aku tidak akan berkahwin kecuali dengan Julaibib ra !"

Mendengar percakapan puterinya, maka pergilah sahabat itu menghadap Rasulullah saw. Sesampai di hadapan Rasulullah, iapun berkata: "Wahai, Rasulullah! Aku menerima pinanganmu. Nikahkanlah puteriku dengan Julaibib ra".

Mendengar bahawa pinangan tersebut telah diterima, membuat Julaibib begitu bahagia. Namun, angan-angan itu segera hilang, ketika panggilan jihad mengetuk hatinya. Kerana pada saat yang bersamaan, Rasulullah saw memerintahkan kepada kaum muslimin agar berjihad di jalan Allah. Julaibib ra dalam kebimbangan. Ia bingung manakala harus memilih antara isteri solehah, kebahagiaan, atau mati shahid yang selama ini dicita-citakannya?! Akhirnya, ternyata kerinduan terhadap mati syahid di medan perang menjadi pilihan Julaibib.

Maka berangkatlah Julaibib ra menuju medan perang. Dia tinggalkan calon isterinya yang solehah dan kebahagiaan yang akan segera ia perolehi, demi menyambut panggilan Rabbnya, iaitu berjihad di jalan-Nya.

Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau sangat memberi perhatian kepada para sahabatnya selesai peperangan. Biasanya Rasulullah saw menanyakan siapa saja yang syahid dalam peperangan itu.

Rasulullah saw bertanya kepada para sahabatnya: "Siapa kah yang gugur di jalan Allah?"

Mereka menjawab: " Fulan dan fulan, wahai Rasulullah".

Mereka tidak menyebutkan nama yang dicari oleh Rasululluh saw, iaitu Julaibib ra. Maka Rasulullah saw kembali menanyakan kepada para sahabat, dan jawaban mereka sama.

Kemudian beliau saw berseru: "Sesunguhnya aku telah kehilangan salah seorang sahabatku, Jualaibib. Carilah ia!"

Para sahabat segera mencari jasad Julaibib ra. Dan mereka mendapatkan jasadnya tersungkur. Di sekelilingnya terdapat tujuh jasad orang kafir. Segeralah para sahabat memberitahukan kepada Rasulullah tentang Julaibib ra, maka Rasulullah saw segera menghampiri jasadnya. Rasulullah berdiri di sampingnya dan bersabda: " Dia telah membunuh tujuh orang ini, kemudian mereka membunuhnya. Sesungguhnya, ia adalah aku, dan aku adalah dia". Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Kemudian, dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengangkat jasadnya dan menyandarkan di lengannya.

Para sahabat mempersiapkan liang lahat untuknya, dan Rasulullah terus menyandarkan jasad Julaibib Radhiyallahu anhu di lengannya, sampai akhirnya ia di kuburkan. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala merahmatinya.

Sumber dari majalah As-Sunnah Edisi 06/Tahun XII/1429H/2008M.
Sumber: #anaksaleh

Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close