Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Ubati Dosa Di Kebun Iman Dengan Dinginnya Istighfar

Ubati Dosa Di Kebun Iman Dengan Dinginnya Istighfar. Allahuakbar.. indahnya tulisan dan coretan yang saya baca ini. Tentang bagaimana hendak mengubati dosa! Saya kongsikan coretan dari blog ini dan siarkan semula di sini agar lebih ramai dapat merenungkan perihal dosa dan ubatnya. Dosa ada ubat ke? Inilah pertanyaan yang saya terlintas dalam fikiran sebelum habis membaca tulisan yang indah ini. 

Lanjutkan.. kita baca kisahnya di bawah ini. 

Pada suatu ketika Sayyidina Ali r.a. sedang berjalan-jalan di sebatang jalan kota Basrah. Tiba-tiba beliau ternampak sekumpulan besar manusia. Mereka berebut-rebut untuk kehadapan dan saling menolak. Orang-orang yang berada di belakang pula memanjangkan leher dan mengangkat tumit mereka agar dapat melihat ke tengah-tengah himpunan manusia itu.

Sayyidina Ali r.a. ingin mengetahui apa gerangan yang sedang menarik perhatian orang ramai itu. Maka beliau pun pergi lebih dekat. Ternyata orang ramai berasak-asak itu sedang mengerumuni seorang pemuda yang tampan wajahnya, segak badannya serta kelihatan berwibawa. Pemuda itu berpakaian serba putih dan duduk diatas sebuah kerusi. Pemuda itu pandai mengesan setiap penyakit yang sedang dihadapi oleh tubuh seseorang dan menentukan setiap jenis ubatnya.

Tidak seorang pun yang menghadapi masaalah kesihatan yang ada disitu, melainkan diberitahu penyakit dan ubatnya. Memang benar, semua yang mengikuti arahannya sembuh serta merta. Setelah mendapat giliran, Sayyidina Ali r.a. terus maju kehadapan dan bertanyakan tentang perihal penyakit. Maka terjadilah perbualan antara doktor muda itu dengan Sayyidina Ali r.a.

"Assalamualaikum , wahai tuan doktor," kata Ali r.a memberi salam.

"Waa'laikumussalam" jawab doktor muda itu.

"Adakah tuan doktor boleh menunjukkan ubat penyakit dosa?"

Orang ramai tidak mampu mencari ubat penyakit yang satu ini. Kata Ali r.a pemuda itu tidak menjawab, tapi hanya menundukkan kepalanya hingga rebah kebumi.

"Bagaimana tuan doktor, boleh menunjukkan ubat penyakit dosa?" tanya Ali r.a.

Dia tidak menjawab juga maka Ali r.a pun mengulangi pertanyaannya buat kali ke tiga dan doktor mengangkat kepalanya. Maka bertanyalah Ali r.a., "Wahai tuan doktor, adakah tuan mengetahui ubat untuk penyakit dosa? Semoga Allah memberkati tuan doktor."

"Ya tahu, " jawab doktor itu. "Sila tuan terangkan kepada saya." pinta Ali r.a.

Ubati Dosa Di Kebun Iman Dengan Dinginnya Istighfar 


Ubati Dosa Di Kebun Iman Dengan Dinginnya Istighfar

Doktor muda itu menerangkan bahawa untuk mengubati dosa seseorang hendaklah tinggal dikebun IMAN. Kemudian ambillah akar-akar NIAT dan BIJIRAN PENYESALAN di dalam kebun itu. Ambillah pula daun-daun MEMPERBAIKI DIRI dan AZAM, taburlah biji WARAK, buah FIQAH, dahan-dahan YAKIN, saripati IKHLAS dan kulitnya IJTIHAD. Ambil pula akar-akar TAWAKKAL, sempurnakan dengan IKTIBAR, minumannya air TAUBAT dan ubat TAWADUK. Ubat-ubat itu hendaklah diambil oleh hati yang HADIR, WASPADA dan FAHAM. Peganglah TAUFIK, kemudian ditempatkan di bekas TAHKIK dan hendaklah di basuh dengan AIR MATA. Lepas itu letakkan di dalam periuk HARAPAN, kemudian nyalakan api RINDU dibawahnya sehingga timbullah buih-buih HIKMAT yang banyak. Setelah masak, tuangkan ia ke dalam dulang REDHA dan kipaslah dengan ISTIGHFAR.

Dengan demikian, engkau akan mendapatkan minuman yang sangat jernih, asli dan sedap. Akhirnya, minumlah air itu di tempat yang sunyi yang tak seorang pun melihatnya melainkan Allah Ta'ala. Dengan cara itu, seseorang boleh mengubat dosanya sehingga sembuh dan habis terkikis.

Lepas memberikan keterangan yang panjang yang berupa respi untuk ubat dosa, pemuda itu bermadah memperingatkan orang yang hadir akan bahayanya dosa dan hendaklah bertakwa kepada Allah s.w.t. Kemudian dia berteriak satu kali dengan teriakan yang kuat sehingga rebah ke bumi dan meninggal ketika itu juga.

"Sesungguhnya engkau ini memang seorang doktor dunia dan doktor akhirat, " kata Sayyidina Ali r.a. Kemudian beliau memerintahkan kaum Muslimin agar segera menguruskan jenazah pemuda warak itu.

Ringkasan: Untuk mengubati penyakit dosa.

1. Niat ikhlas semata-mata kerana Allah.

2. Menyesal terhadap dosa-dosa yang telah lalu.

3. Berazam tidak mengilangi dosa-dosa yang lalu.

4. Bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri supaya dapat melahirkan sifat mahmudah iaitu warak, yakin, ikhlas, bertawakkal, bertaubat dan tawaduk.

5. Sentiasa bersihkan hati hingga hati hadir (berhubung dengan Allah), waspada (dalam amalan harian) dan faham (tanggungjawab kepada Allah)

6. Meletakkan harapan dengan rasa rindu untuk bertemu Allah di hari akhirat dalam keadaan redha meredhai.

7. Di malam hari ketika bersunyi-sunyian berdo'a, bermunajat, beristighfar dan bertaubat kepada Allah dengan linangan air mata penyesalan di atas dosa-dosa yang telah dilakukan dengan harapan Allah s.w.t. menerima taubat hamba-Nya yang banyak dosa dan kesalahan.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada kita semua. Setiap hari menambah ilmu, menjadikan kita insan yang bijak. Ubati dosa dengan keimanan dan beristighfar..   

Read More ....


Post a Comment

1 Comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

close