Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Renungan Sejenak Di Bulan Ramadhan Al Mubarak

Renungan Ramadhan Al Mubarak. Ramadhan datang lagi, hanya sekali setahun dan serasa perginya begitu cepat. Macam baru semalam sahur pertama, kini sudah lebih seminggu berlalu. Adakah kita berlumba-lumba memenuhkan hari yang telah berlalu itu dengan menelaah al Quran. Menyelak helai demi helai sehingga sudah hampir beberapa juzuk selesai? Entahlah.. walau masa senggang terlalu banyak, tetapi tetap tak terhabis walau satu muka surat. Walau banyak masa terluang, entahkan sempat membuka al Quran tersebut? Itulah yang sering ditanyakan pada diri sendiri. Telah diniatkan pada awal ramadhan, untuk membaca 10 muka surat al Quran sehari.. tetapi mata tetap nak tertutup sebelum sempat mata ditutup. Besarnya dugaan dalam berpuasa ni ya..


Tak mengapalah. Kita usahakan mana yang terdaya. Yang penting usaha dan niat itu dah ada. Kemudian istiqamah menghadapinya. Okay 👌👌

Renungan Sejenak Di Bulan Ramadhan Al Mubarak


Gambar Sebuah Renungan Di Bulan Ramadhan Al Mubarak


1. Jika setelah bulan ramadhan kamu kembali menjalani kehidupan yang penuh dosa, maka sesungguhnya kamu tidak mendapatkan apapun dari puasamu kecuali hanya rasa lapar. 

2. Ramadhan bukanlah tentang berhenti dari kebiasaan buruk untuk sementara waktu. Ramadhan adalah titik awal untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik dan berusaha untuk terus selamanya menjadi baik.

3. Jika dunia ini persinggahan, mengapa kita tidak perbanyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan? Kerana kita cuma ada satu persinggahan..

4. Sebelum menyebar berita, sebelum membuka mulut untuk berbicara, sebelum jari menekan kata-kata, pastikan fikirkan kebaikan atau keburukan. Jangan sebab kejahilan dan taksub dengan trending semasa, kita beramai-ramai mengumpul dosa.

5. Doa orang berpuasa adalah mustajab terutamanya ketika waktu nak berbuka. Mintalah kepada Allah untuk dihindari dari seksaan api neraka, diampuni segala dosa dan akhiran hidup yang khusnul khotimah. Yang penting adalah akhiran hidup kita dan bukan bagaimana ia bermula.

6. Setiap hari di bulan ramadhan, Allah membebaskan beratus ribu senarai nama ahli neraka untuk dicatat sebagai ahli syurga. Takut sangat jika nama kita dan ahli keluarga kita tidak termasuk di kalangan ahli syurga. Mohonlah, "Ya Allah, catatkan nama kami dan keluarga kami sebagai ahli syurga."

7. Sesiapa yang diberi rezeki membaca al Quran, maka akan hilanglah kesengsaraannya, kerana al Quran dan sengsara tidak akan bersatu selama-lamanya, ketika ditanya: Sebanyak mana kita perlu membaca al Quran? "Sebanyak mana kebahagiaan yang kamu mahukan."


8. Ketika IBLIS gagal membuatmu menjadi JAHAT, maka iblis akan membuatmu merasa LEBIH BAIK dari orang lain. Maka, berhati-hatilah. Jauhi riya' dan menunjuk-nunjuk kebaikanmu.

9. Ya Allah, jadikanlah ramadhan tahun ini bermakna buat diriku, keluargaku, saudaraku dan sahabatku. Dan, terimalah segala amalan kami di bulan suci ini.

10. Sabda Nabi SAW, "Orang yang muflis dari umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, dalam masa sama dia memaki seseorang, dia menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang, dan memukul seseorang, Lalu akan diberikanlah kepada orang ini dan itu (yang menerima perlakuan buruk tadi) pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan segala kesalahannya, maka diambil dosa mereka (orang yang menerima perlakuan buruk tadi) dicampakkan ke atasnya.

Semoga sedikit kata-kata renungan di atas akan membawa manfaat ke dalam kehidupan kita untuk difikir-fikirkan. Segala kebaikan yang terjelma dalam diri kita dari Allah jua dan segala khilaf dan kurang datangnya dari diri kita sendiri.

Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close