Koleksi Peringatan Dari Al Quran Sebagai Renungan. Kandungan al Quran terlalu banyak tak terkira akan kebaikan, hikmah, penawar, pengajaran kisah silam, peringatan dan sebagainya untuk kita jadikan landasan dan panduan dalam kehidupan di dalam alam fana ini. Sebagai umat islam, kita kena meyakini al Quran kerana ia salah satu daripada rukun iman. Percayakan al Quran dan lima rukun iman yang lain menjadikan kita seorang islam yang beriman dan bertaqwa. Insya Allah. Jadikan al Quran panduan hidup, penyelesai segala masalah, terapi jiwa yang tak dapat dijual beli di mana-mana.
Salam jumaat yang barakah kepada semua pembaca blog aynorablogs.com.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
Ya Arhamar Rahimin 3 kali..
Ya Allah ya Tuhan kami, kami bermohon ke hadratMu, berilah kekuatan , taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami, tambahkanlah kepada kami ilmu, iman dan amal.
Ya Allah kami memohon kepada Mu ya Allah, permudahkanlah urusan kami hari ini, muliakan dan lapangkanlah kehidupan kami, bahagiakanlah keluarga kami dan luaskan rezeki kami seluas lautan yang Engkau ciptakan.
Ya Allah, kabulkan cita-cita kami, jauhkan dari segala penyakit, fitnah, prasangka keji, berkata kasar dan mungkar. Jauhkan kami dari segala musibah.
Ya Allah, ampunkanlah dosa2 kami dan kedua ibubapa dan mertua kami, dosa anak isteri kami, dosa jiran2 kami dan guru-guru kami, serta kaum muslimin dan muslimat keseluruhannya.
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami.
Ya Allah, tutupilah aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang dan tenteramkan kami dari rasa takut.
Ya Allah, jadikanlah kami orang yang
mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunan kami.
Ya Allah, perkenankanlah permohonan doa kami. terimalah semua amal ibadah kami, dan kelak jadikanlah kami sebagai penghuni syurga FirdausMu
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَّمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
وَصَjلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ
وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
Koleksi Peringatan Dari Al Quran Sebagai Renungan
Peringatan-peringatan dari al Quran, tafsiran ayat al Quran di bawah ini adalah pilihan secara rawak dari beberapa surah, yang diharap ianya boleh kita jadikan renungan dan pegangan hidup.
Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) 2 : 212
Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang kafir dan mereka memandang hina orang yang beriman. Padahal orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka pada hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang dikehendakiNya tanpa batas.
Surah Ibrahim 14 : 31
Katakanlah (Muhammad) kepada hamba-hambaKu yang telah beriman: "Hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi atau terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual-beli dan persahabatan".
Surah Al-Qasas (Cerita-Cerita) 28 : 77
Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.
Surah Fussilat (Yang Dijelaskan) 41 : 22 - 23
Dan kamu tidak dapat bersembunyi daripada kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu terhadapmu, bahkan kamu mengira Allah tidak mengetahui banyak tentang apa yang kamu lakukan.
Dan itulah sangkaanmu yang telah kamu sangkakan terhadap Tuhanmu, (sangkaan itu) telah membinasakan kamu, sehingga jadilah kamu termasuk orang yang rugi.
Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) 2 : 214
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
Surah Al - Kauthar (Nikmat Yang Banyak) 108 : 1 - 2
Sesungguhnya, Kami telah mengurniakanmu (wahai Muhammad) nikmat yang banyak.
Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan dekatkan diri kepada Allah)*
_* Menyembelih haiwan korban sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta'ala_
Surah Al-A'raf (Tempat Tertinggi) 7 : 57
Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya (hujan), sehingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halakan ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.
Surah Al-Mulk (Kerajaan) 67 : 19
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan menguncupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.
Surah Al-Kahf (Gua) 18 : 110
Katakanlah (Muhammad): "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Maha Esa". Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.
Surah Al-Isra' (Perjalanan Di Malam Hari) 17 : 18 - 19
Barang siapa mengkehendaki (kesenangan) kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segarakan baginya di (dunia) itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami tentukan baginya neraka Jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.
Dan barang siapa mengkehendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang yang usahanya dibalas dengan baik.
Semoga segala perkongsian tentang tafsiran ayat-ayat al Quran di atas, menjadi peringatan kepada kita untuk sentiasa memperbaiki diri, berusaha menjadi hambaNya yang terbaik dan dikasihi.
Insya Allah..
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.