Resepi Bubur Kacang Hijau Dengan Sagu Biji. Semalam anak bujang kecil menagih hutang saya terlupa buat bubur kacang hijau kegemarannya. Ingatkan dia dah lupa. Rupanya ingat dalam kepala. Bangun tidur je terus tanya tentang bubur kacang hijau dia.. anak oh anak.. maka hasilnya hari ni saya masakkan bubur kacang hijau dengan sagu biji permintaan si kecil. Pelik pulak anak lelaki suka makan bubur tetapi itulah anak-anak lelaki saya. Kedua-duanya gemar makan bubur kacang hijau dan bubur chacha. Mungkin sebab duduk asrama, so dah biasa dengan masakan cair macam bubur gitu.. hehe
Pasti ada yang bertanya kenapa masak bubur kacang nak kena masukkan halia? Sebabnya, kacang hijau kan berangin, jadi halia pula menyeimbangkan untuk buang angin dalam badan. Jadi, bila anda makan bubur kacang tak lah rasa sakit kepala sebab banyak angin. Insya Allah, halia berperanan buang angin dari dalam badan. Gitulah petua orang tua-tua..
Resepi Bubur Kacang Hijau Dengan Sagu Biji
Okay, saya kongsikan cara buat bubur kacang hijau dengan biji sagu untuk sama-sama kita buat di rumah. Mungkin ada anak-anak atau anda sendiri suka makan.. maka buat sendiri lagi puashati.
Bahan-bahan;
1 mangkuk kacang hijau
1 mangkuk gula merah
1 cawan gula pasir (kurangkan kalau tak suka manis)
1 mangkuk kecil sagu biji @ sagu mata ikan
1 tangkai daun pandan - disimpulkan
1 inci halia - hiris
1 kotak santan - dibancuh dengan air sedikit supaya tak berketul
Cara Buat Bubur Kacang Hijau Yang Sedap
1. Panaskan air secukupnya. Kemudian masukkan kacang hijau. Masukkan halia sekali. Biarkan hingga kacang hijau dah empuk.
2. Bila kacang hijau dah masak, masukkan gula pasir dan gula melaka. Masukkan sedikit garam. Kacau rata. Jangan lupa masukkan daun pandan pula.
3. Akhir sekali masukkan sagu biji dan santan. Kacau lagi. Biarkan mendidih seketika dan matikan api.
Siap dah bubur kacang kita yang sedia untuk di makan. Selamat mencuba.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.