Mukmin Yang Bermanfaat Itu Umpama Pohon Kurma. Kurma adalah makanan sunnah, dahlah buahnya sedap dimakan tetapi banyak juga manfaatnya kepada manusia. Kurma antara buah yang mengandungi serat asli yang tinggi hinggakan dengan memakan beberapa butir kurma sudah mencukupi keperluan serat harian terhadap tubuh manusia.
Oleh kerana banyaknya manfaat pohon kurma, Rasulullah mengumpamakan seorang muslim yang membawa kebaikan itu seperti sepohon kurma.
Mukmin Yang Bermanfaat Itu Umpama Pohon Kurma
Jadilah Umpama Pohon Kurma. Setiap kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang berguna dan bermanfaat kepada orang lain.
Rasulullah SAW mengumpamakan orang mukmin yang berguna dan bermanfaat seperti pohon kurma.
عَنِ ابْنِ عُمَرَ , قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:مَثَلُ الْمُؤْمِنِ مَثَلُ النَّخْلَةِ , مَا أَخَذْتَ مِنْهَا مِنْ شَيْءٍ نَفَعَكَ.
Daripada Ibn Umar dia berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan seorang mukmin itu seperti pokok kurma, apa pun yang engkau ambil darinya pasti bermanfaat bagimu" HR. Al-Tobarani No: 13332
Semua yang ada pada sepohon kurma, daripada batang hinggalah kepada daun kurma, ia tetap berguna dan boleh diambil manfaat. Batangnya boleh buat jambatan, boleh juga dibuat tiang bangunan dan daunnya boleh digunakan sebagai atap serta dinding rumah. Buahnya sudah tentu dijadikan makanan berkhasiat sama ada buah yang muda, yang tua serta yang kering.
Sebagai Mukmin, kita perlu menjadi bermanfaat di mana jua kita berada serta dalam keadaan apa juga. Jadilah seperti pohon kurma yang bermanfaat di semua bahagian pokok.
Pokok kurma sangat kukuh dan kuat kerana akarnya. Amat jarang dan sukar pokok kurma tumbang ditiup angin berbanding dengan pokok lain.
Seorang Mukmin perlu memiliki sifat sabar dan tabah menghadapi sebarang ujian dan musibah seperti pokok kurma sangat sabar menghadapi angin kencang.
Bersyukurlah bila diberi nikmat namun tetap sabar tatkala didatangi ujian. Itulah prinsip seorang mukmin yang bertakwa.
Seorang Mukmin yang kuat dan sabar, imannya mengakar dalam hati dan tidak akan goyah dengan ujian seumpama pohon kurma.
Berusahalah kita menjadi seperti pokok kurma, semakin tua semakin sedap dan berkualiti buahnya. Demikian juga seorang mukmin, semakin tua semakin baik dan berkualiti amalnya serta bermanfaat kepada orang lain.
Berusahalah kita untuk menjadi seperti buah kurma yang sangat bermanfaat. Ketika buah masih basah yang disebut rothab boleh dijadikan buah dan manisan. Ketika kering disebut tamar boleh menjadi sebagai makanan, buah-buahan, manisan, ubat dan manfaat yang pelbagai.
Marilah sama-sama menjadi perumpamaan pohon kurma. Kita perlu berusaha menjadi bermanfaat di mana jua kita berada. Jadilah orang yang semakin baik amalnya sama ada sewaktu kecil, remaja, belia, dewasa mahupun tua.
Semoga kehidupan kita diberkati dengan kebaikan samada dari segi umur, persaudaraan dan segala di sekitar kita.
Insya Allah..
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.