Berbisik Angin Ke Kota Bahagia. Perjalanan jauh menjemput aku ke daerah ini. Meskipun hujan renyai membasahi dinding kereta, tidak membataskan rasa syukur menatap pelangi indah dan ditemani angin yang sepoi-sepoi. Pemandangan ini membisikkan bahagia, menyulam gembira di sudut hati. Lantas mengingatkan aku pada cerita pilu seorang insan.
Dia menjadi tunggak setelah diuji pemergian tanpa nota. Pergi sidia takkan kembali, terduduk pilu mengenang diri.Tika rasa perit menyentak ulu hati, aku gagahkan mengimbas rakaman perbualan kami lewat hari-hari kelmarin. Setelah kamu kehilangan tulang belakang keluarga, semua menghindar. Tinggallah kamu bersama puteri-puterimu meneruskan langkah mendepani segala tohmahan dan cabaran hidup. Lantas, kudrat yang secebis itu kamu gunakan bagi memberikan cahaya bahagia di wajah orang-orang yang kamu sayangi.
Percayalah sahabat... langit gelap tak selamanya menyelimuti hidupmu. Nanti aku kirimkan sebilah pelangi indah buat menceriakan hari-harimu, kerana di sini aku sedang menyulam bahagia. Sedang mendengar bisikan angin yang membawa khabar gembira.
Kita ada TUHAN yang Maha Pengasih dan Penyayang! Jangan toleh ke belakang duhai sahabat. Kekuatan kita adalah gambaran ketabahan insan-insan di sekeliling kita. Aku tidak mahu melihat kamu rebah tidak bermaya.
TUHAN... berikan kami kebahagiaan sebagaimana Engkau berikan kepada golongan yang terdahulu daripada kami...
Aku sedang menikmati bisikan angin yang tak habis-habis menghadiahi secangkir bahagia. Moga sahabatku, bila pulang nanti aku bisa memeluk segunung tawa dari titisan air hujan yang tumpah dari kolam hatimu. Biarkan air mata itu kau gunakan untuk menyirami butir-butir kejayaan yang menyusul puteri-puterimu nanti.
Aku ada di sini jika kau perlukan aku!
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.