Orang Yang Enggan Masuk Syurga. Siapakah dari kalangan kita semua yang tak nak masuk syurga? Ada ke? Paling tidak, ada sekelumit rasa dan ingin dalam hati orang yang berakal nak masuk syurga Allah. Apatah lagi orang mukmin yang telah dijanjikan macam-macam ganjaran jika dapat masuk syurga. Takkan ada pula orang yang tak nak masuk syurga? Jika ada, siapakah mereka itu? Dengan segala cerita dan ceramah tentang keadaan indahnya tak tergambar akan syurga itu, mengapakah kita masih lagi tak tergerak nak masuk syurga. Siapakah antara kita nanti yang tak heran akan syurga? Begitu terperinci diterangkan dalam al Quran akan keadaan di syurga, masih belum terbukakah pintu hati kalian untuk menjadi salah seorang penghuni syurga?
Orang Yang Enggan Masuk Syurga Allah
Ada jugakah yang enggan masuk syurga Allah? Siapa ya? Mari kita lihat penjelasannya di bawah.
Daripada Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
Maksudnya:
"Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan." (HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang.
2. Taat dan patuh itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta perkara haram yang lain.
3. Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.
4. Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa.
Firman Allah:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya:
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)
Marilah kita sempena bulan Maulidur rasul ini menjadi orang yang akan masuk syurga bukan orang yang enggan memasukinya.
Semoga kita semua mendapat taufik dan hidayahNya dan menjadi orang yang diterima menjadi ahli syurga tertinggi di akhirat sana. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih. Marilah sama-sama bermohon kepadaNya.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.