Ketika dia hadir dalam pertemuan kami, tiada antara kami yang menduga. Kerana dendam lama yang tersirat, aku biarkan dirimu melayan sepi. Kawan dan rakan bukan lagi seperti dulu. Dalam hati sempat berbisik, biar kau rasa.
Dahulu , ketika aku tiada teman bicara. Kau ketawa bangga. Kau bina dinding dan tembok ego, kau menjarakkan diri lantaran aku tak punya apa-apa. Tidakkah kau rasai terkilannya aku dengan sikapmu.
Kini aku di sini sedang memerhati. Seorang teman yang tewas dalam daerah kehebatannya sendiri. Seorang rakan yang tiada dalam hatiku lagi. Kerana hati masih berdendam, kerana kenangan itu datang subur kembali. Demi melihat raut wajah dan senyum, aku berharap kita tidak bertemu lagi. Lebih baik tiada pertemuan jika kau pernah menyebabkan aku kehilangan.
Ingatlah wahai kawan dan ingatan pada diri, langit tidak selalu cerah. Bila Sudah terbang tinggi, jangan dilupa bumi dipijak. Ingatkah lagi warna hijau rumput itu? Bumi ini bulat. Hidup ibarat putaran roda. Hari ini kau di bawah, entah'entah esok lusa di atas pula. Anggaplah pertemuan ini sebagai sebuah persinggahan sementara, tempat kamu mengutip serpihan maruah yang dibanggakan!
Toleh ke belakang.
Kadangkala ketika duduk sendirian sambil mengutip dedaun kering...kita boleh menjadi mengerti, mengapa dipertemuan ini kau rasa kehilangan. Dalam merenung perjalanan semalam, kita perlu keseorangan. Kerana kita akan rasai kesakitan yang pernah kita berikan pada seseorang dahulu.
Dalam keheningan dan berseorangan di situ, tidak salah kita mengalah. Itu bukan tanda kita salah atau tidak tetapi jika sebuah silaturrahim boleh diselamatkan mengapa tidak. Jangan biarkan di akhir perjalanan nanti kita tiada teman dan sahabat yang boleh berkongsi tawa.
Bukan itu pilihan hati.
Jika kau kembali dengan segenggam kasih, kami tadahkan selautan sayang. Bukankah sahabat sejati tidak mengira nilai setianya?
Jika itu kamu, akan ku tunggu!
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.