Di Sebalik Istiqamah Itu... | Istiqamah sebuah kata yang indah dan menghadirkan kekuatan bila disebut. Istiqamah adalah sebuah akujanji untuk sebuah ketabahan dan kesabaran dalam mengharungi kehidupan.
Bagaimanakah hebatnya seseorang yang istiqamah? Apakah hadiah terindah untuk sebuah kesabaran yang panjang? Tidakkah Allah rasa belas kepada hambanya yang tabah tetapi terus diasak dengan ujian? Maka Allah berpesan, berserahlah kepadaNya, kerana Dia Maha Mengetahui. Di setiap kesedihan ada bahagia yang menanti. Pada sesuatu kesulitan ada kesenangan di kemudiannya. Akhirnya Allah hadiahkan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Bukankah kemudian... kamu akan menangis kegembiraan!
Di Sebalik Istiqamah Itu...
Disebalik bait kata istiqamah, ada terselit sebuah pengorbanan yang panjang. Ada airmata yang melimpah. Ujian yang tak berhenti dan sabar yang tidak bertepi! Istiqamah disertai dengan doa menjadi senjata pendinding diri.
Istiqamah adalah hadiah untuk jiwa yang telah lama menanti sejalur cahaya. Mana lagi harapan terindah yang Allah ajarkan dalam qalamnya melainkan sebuah istiqamah untuk sejalur pelangi berwarna warni..
Janji manusia ditepian bibir tetapi janji Allah itu pasti.
Tertanya-tanya di hati, sejauh manakah istiqamah itu boleh bertahan? Bertahanlah duhai kawan selagi kamu masih ada iman. Bukankah kamu telah berjanji bahawa Tiada Tuhan Selain Allah. Maka, janji Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Jika kamu berputus asa, berhenti berusaha.. kamu bukanlah dari kalangan hambaNya yang beruntung. Kerana orang yang beruntung adalah orang-orang yang bertaqwa.
Maka dengarlah... nasihat ini bagaimana kamu boleh istiqamah dalam perbuatan baik yang kamu lakukan. Antara tips atau nasihat para ulama dalam mendidik diri untuk istiqamah adalah tidak memberatkan diri dengan apa yang tidak termampu.
Seterusnya, mulakan amalan kita dengan berbuat perkara yang mudah dahulu, dan setelah pasti akan istiqamah dan mendapat kelazatannya, barulah ditambah sedikit demi sedikit. InsyaAllah kita diberi oleh Allah kemudahahan dalam melaksanakannya.
Kita juga boleh membuat jadual dalam masa tersebut, ibadat yang kita ingin istiqamah dan ibadat yang bergantung kepada situasi dengan syarat berniat untuk terus istiqamah. Jadual ibadat yang kekal istiqamah tersebut perlu diwajibkan atau ditekankan ke atas diri seberapa boleh sehingga ia menjadi suatu kelazatan pula.
Istiqamah bukanlah jalan benci
Hingga kamu merasa tersendiri
Biar bermula perlahan sekali
Asalkan akhirnya kamu temui cahaya illahi..
Teguhkan diri, istiqmah hingga jasadmu bersemadi.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.