Apa sebabnya hati jadi hitam dan keras? Mari kita renungi perkongsian di bawah yang semoga dengannya kita mengambil iktibar.
10 Punca Hati Jadi Hitam Dan Keras
1. Suka melihat maksiat
Dalam dunia serba canggih dan online ni, maksiat mudah ditonton di hujung jari. Ingat ya, konteks maksiat ni luas. Contohnya melihat aurat wanita atau lelaki pun maksiat. Mendengar orang bergaduh dan viral di youtube pun maksiat. Oleh itu, jagalah apa yang kita nak lihat atau dengar. Banyak lihat maksiat, hati jadi hitam dan kelam. Cuci hati yang hitam dan keras dengan perbanyak istighfar kepada Allah.
2. Suka melihat najis
Sebab itu kita dihalang melihat ke dalam lubang tandas apabila membuang air besar atau kecil. Kerana sudah tentu di dalam lubang najis itu adalah kotoran.
3. Suka bercakap kotor
Kata-kata yang keluar dari mulut kita mengganbarkan siapa kita sebenarnya. Mungkin perbuatan fizikal kita boleh sorok, tetapi apabila hati dah marah maka mulut mudah mengeluarkan caci maki tanpa dapat dikawal. Sebab itu, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa!
4. Suka berfikiran kotor
Fikiran kotor dipengaruhi dengan apa yang kita selalu lihat dan dengar. Mendengar berita kurang sahih mudah sahaja menambah cerita yang direka bagi mengaibkan orang lain atau memecahbelahkan sesuatu hubungan persaudaraan. Sebab itu, dapatkan cerita sebenar dari kedua-dua pihak sebelum menyampaikan sesuatu khabar. Kawal fikiran dengan bersangka baik dalam banyak perkara.
5. Tidak solat
Usahlah kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang munafik. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)
Mengapa agaknya orang tidak mahu berdoa? Sombongkah mereka?
6. Tidak membaca al Quran
Bacalah al Quran - kalam Allah, fahami isinya dan baca dengan tajwid yang betul. Jika tidak pandai, anda boleh ikuti bermacam-macam kelas al Quran online yang banyak ditawarkan sekarang ini. Lagi banyak dan kerap kita membaca al Quran, lagi banyak perubahan hidup akan terjadi.
7. Tidak bertahajjud
Orang yang tidak pernah bertahajjud adalah orang yang rugi. Hidupnya tidak tenang dan sentiasa gelisah. Kerana ustaz kata, nak hidup tenang kenalah selalu tahajjud. Kerap tahajjud menjadikan hati kita insaf dan berasa halus untuk mengerjakan suruhan Allah.
8. Tidak berzikir
Dengan berzikir ia boleh memadam satu titik hitam dalam hati akibat dosa-dosa yang dilakukan. Bayangkan dalam sehari kita berzikir beratus-ratus atau beribu, maka titik hitam lama kelamaan jadi bersih dan putih. Insya Allah bila ketika hati dah bersih, mudah sahaja nak buat kebaikan dan menerima nasihat.
9. Tidak berdoa
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah bersabda, “Manusia paling lemah adalah mereka yang paling malas berdoa (kepada Allah). Dan manusia paling malas adalah manusia yang malas memberi salam”. (HR. Thabrani, Ibnu Hibban, dll).
Orang yang tidak berdoa telah menambahkan titik hitam dalam hatinya. Mungkin juga seseorang itu tidak mahu berdoa kerana, "Sesungguhnya aku telah meminta kepada Allah, namun Dia tidak memperkenankan permintaanku, maka sekarang aku tidak mahu lagi memohon kepadaNya."
Ingatlah, doa tidak dimakbulkan secepat itu, kerana Allah tahu bila waktu terbaik untuk memakbulkan permintaan hambaNya.
10. Sombong dan angkuh
Orang yang sombong dan angkuh adalah orang yang rugi. Mereka adalah golongan yang sakit jiwa kerana nak berlagak kena banyak buat kerja, menunjuk kekayaan serta riak. Semakin tinggi pangkat dan kedudukan, semakin ego tinggi melangit. Maka, makin bertambah keras hatinya dan sukar di tegur. Orang sombong merasakan hanya mereka yang betul, padahal mereka lupa semua itu adalah pinjaman semata.
Penutup
Secara keseluruhannya, hindari dari bergaul dengan orang yang bergelumang dengan maksiat, cari rakan dan sahabat yang membawa kepada kebaikan dan mesti lakukan perintah Allah dalam setiap masa dan ketika. Kita tidak tahu entah bila nyawa akan berpisah dari badan, yang penting segeralah memilih kehidupan yang baik di sisi Allah.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.