Resepi Ayam Kampung Masak Lemak Cili Api. Ayam kampung memang sedap dimasak dengan cara berkuah, kerana isinya yang agak pejal memerlukan ia dimasak lebih lama. Kulitnya pun agak liat dan tulang ayam kampung agak keras. Macam besi pun ada.. almaklum ayam kampung kan memang lasak. Hehe.. tapi ayam kampung lebih sedap sebenarnya berbanding ayam daging, jika kena cara memasak yang betul.
Kali ini saya akan memasak ayam kampung dengan cara saya yang amat mudah dan insya Allah, sedap tak terkata. Haha..
Lagi satu, ayam kampung lebih mahal harganya kerana ia semakin sukar di dapati dan cara membersihkannya pun agak makan masa. Seekor ayam kampung yang saya beli berharga lebih kurang RM36.00.
Resepi Ayam Kampung Masak Lemak Cili Api Mudah
Bahan-bahan:
1 ekor ayam kampung - potong 12 bahagian
2 biji bawang besar (saiz,sedang) - kisar
3 ulas bawang putih - kisar
25 biji cili padi - kisar
5 batang serai - kisar
3 ketul kunyit hidup - kisar
2 keping asam keping
Garam dan gula secukupnya
2 kotak santan jenama Kara
Cara menyediakan masak lemak cili api ayam kampung
1. Rebus dulu ayam kampung hingga mendidih. Kemudian toskan.
2. Masukkan ayam kampung tadi ke dalam periuk dan bersama bahan kisar. Gaul rata serta tambahkan sedikit air supaya bahan bercampur rata dengan ayam. (Saya tak tumis tau, tak guna minyak).
3. Perisakan dengan garam dan gula serta serbuk perisa, jika suka.
4. Bila ayam kampung dan bahan kisar dah rata, selepas mendidih masukkan santan dan asam keping. Kacau rata dan biarkan seketika. Boleh tambah air jika kuah masih pekat.
5. Kecilkan api dan biarkan ayam kampung lembut.
Siap untuk dihidangkan.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.