Taubatmu Selalu Ditunggu! Bertaubatlah selalu walau kita memang pendosa. Setiap masa berdosa kepada Allah. Tetapi sebagai pendosa, senjata kita adalah taubat. Istighfar di setiap kesempatan yang menjelma. Kita tak tahu dari banyaknya amalan dan usaha kita setiap hari, yang dikira dosa. Hanya Allah yang Maha Mengetahui dosa-dosa kecil kita.
Sedangkan Rasulullah SAW seorang yang maksum terpelihara daripada dosa, tetap banyak taubat dan istighfarnya...
عَنْ أبي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قال : سمِعتُ رسول الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم يَقُولُ : واللَّه إِنِّي لأَسْتَغْفرُ الله ، وَأَتُوبُ إِليْه ، في اليَوْمِ ، أَكثر مِنْ سَبْعِين مرَّةً
Dari Abi Hurairah ra, berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,“Demi Allah, aku benar-benar beristighfar kepada Allah, dan aku bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari 70 kali.” (Hadith Riwayat Al-Bukhari)
عَبْدَ اللَّهِ بْنَ بُسْرٍ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طُوبَى لِمَنْ وَجَدَ فِي صَحِيفَتِهِ اسْتِغْفَارًا كَثِيرًا.
Daripada Abdullah bin Busr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Beruntunglah bagi orang yang mendapati dalam catatan amalannya istighfar yang banyak."(Hadith riwayat Ibnu Majah)
Istighfar Adalah Permohonan Maaf
Istighfar adalah permohonan seorang hamba daripada dosa dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah dengan perkataan dan perbuatan.
Tidak sempurna istighfar seseorang hamba yang hanya sekadar memohon istighfar sedangkan amalannya ke arah maksiat.
Allah SWT telah memilih kita. Adakah kita sedar. Beruntungnya kita jika dapat menggunakan masa ini sebaiknya.
Sebenarnya inilah masa untuk dipenuhi dengan istighfar, taubat dan zikir meningkatkan amal ibadah kita.
وَّاسْتَغْفِرْ لِذَنْۢبِكَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِالْعَشِيِّ وَالْاِبْكَارِ
"Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.(Ghafir: 55)
Jadikan zikir dan istighfar sebagai amalan pada saat kita tak buat apa-apa agar ia dapat dimanfaatkan sepanjang masa.
Rasulullah SAW bersabda:"Barangsiapa membiasakan diri untuk beristighfar, maka Allah akan memberikan jalan keluar baginya dari setiap kesulitan".(Hadith Riwayat Abu Daud)
Oleh itu perbanyakkanlah olehmu akan istighfar kepada Allah. Boleh jadi atas dosa dan maksiat yang pernah engkau lakukan menyebabkan sempitnya rezekimu, kusutnya fikiranmu dan banyaknya masalahmu yang tidak menemui jalan keluar.
Maka, Istighfarlah kepada Allah sebanyak-banyaknya. Pasti engkau akan menemui jalan keluar.
Sabda Rasulullah SAW, Allah telah berfirman,
“Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Ath-Tirmidzi)
عن الأَغَرِّ بْن يَسار المُزنِيِّ رضي الله عنه قال : قال رسول الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : يا أَيُّها النَّاس تُوبُوا إِلى اللَّهِ واسْتغْفرُوهُ فإِني أَتوبُ في اليَوْمِ مائة مَرَّة
Dari Al Aghar bin Yasar Al Muzni ra, berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan beristighfarlah kepadaNya, Sesungguhnya aku bertaubat 100 kali dalam sehari.”(Hadith Riwayat Muslim)
Banyakkan istighfar menyucikan diri.
Banyakkan selawat mohon syafaat.
Banyakkan zikrullah menenangkan jiwa.
Banyakkan muhasabah membaiki diri.
Terapi hati yang paling berkesan adalah istighfar.
Semoga perkongsian di atas memberikan manfaat kepada kita semua. Insya Allah.
0 Comments
Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.